Cara Semak Harga Rumah

Berapa harga rumah semasa saya sekarang? Berapa harga ‘asking price’ yang patut saya letak? Itulah soalan pertama yang Anis selalu dapat bila berjumpa dengan pemilik rumah yang ingin menjual rumah mereka.

Sebelum tu, nak ingatkan apa yang dibincangkan ni adalah berkenaan harga indikatif, iaitu harga anggaran rumah semasa sahaja.

Untuk membuat penilaian hartanah yang tepat individu perlu mendapatkan perkhidmatan jurunilai hartanah yang bertauliah. Servis ni adalah servis profesional, bukan percuma ya. Harga servis penilaian hartanah ni tertakluk kepada jadual fi profesional yang telah ditetapkan.

Perlu ke saya semak harga rumah ni?

Tak boleh ke kalau saya letak harga ikut suka saya je?

Jawapan mudahnya boleh je. Pemilik rumah berhak untuk jual berapa sahaja dia nak.

Letak harga melampui harga pasaran. Boleh, tapi rumah tu akan lama ‘stuck’ sebagai listing hiasan sahaja. Selalu kita nampak rumah harga mahal-mahal macam ni, boleh jadi pemilik rumah tersebut sekadar nak tahu ‘interest’ kepada rumahnya sahaja, tak berniat untuk menjual.

Letak harga super murah di bawah harga pasaran. Boleh, tapi rugi la. Ini selalu terjadi sebenarnya.

Pernah ada jiran Anis jual rumah dia pada harga RM150,000. Padahal bila disemak balik harga pasaran rumah tu pada waktu tu adalah RM235,000. Bila kita tanya, kenapa jual murah sangat pakcik?

Sebab ada ejen tu cakap rumah ni habis boleh pergi pun RM140,000 dia sendiri ‘offer’ beli pada harga RM150,000 sebab kesian kat pakcik katanya.

Bila kita tolong semakkan, rupanya ‘ejen’ ni tadi tu adalah broker haram. Jadi, untuk hal macam ni kena berhati-hati juga la ya, kalau dah sign S&P dan rumah terjual dah tak boleh nak reverse balik dah.

Sentiasa pastikan REN ataupun ejen yang kita lantik tu berdaftar dan bertauliah kalau tak memang macam-macam masalah akan timbul nanti.

Jadi, mementukan harga pasaran rumah ni penting untuk memastikan harga yang kita letak tu kompetitif dan ia akan memudahkan proses bagi pembeli yang majoritinya akan mengambil pinjaman perumahan.

Jadi, apa cara paling cepat untuk tahu harga rumah ni?

Ada beberapa cara untuk kita cepat tahu berapa harga rumah yang kita boleh letak untuk dijual. Antaranya adalah…

Semak harga rumah dekat portal himpunan harga rumah terdahulu

Ada dua website yang buat himpunan ni, kedua-duanya mengambil data melalui transaksi jual beli hartanah daripada Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Website tersebut adalah:

brickz.my

*Kali terakhir data brickz.my dikemaskini adalah pada 1 Ogos 2022

propertyadvisor.my

*Pengumuman yang mana propertyadvisor.my akan menghentikan perkhidmatan portal mereka bermula hujung tahun 2022.

Masukkan je nama taman/kawasan rumah yang kita nak semak harga tu dan kita akan nampak berapa harga rumah-rumah yang pernah terjual sebelum ni dekat kawasan tu.

Apa faktor-faktor yang mempengaruhi harga rumah ni sebenarnya?

Ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi harga sesebuah rumah selain daripada kemudahan asas yang ada berdekatan dengan rumah tersebut. Antara faktor utama adalah seperti yang berikut:

  1. Zon pengkhususan kawasan, di Malaysia zon utama ada tiga iaitu kediaman, komersial dan industri.
  2. Kebarangkalian bencana contohnya seperti kawasan mudah banjir, cerun bukit yang tidak stabil dan sebagainya.
  3. ‘Design’ kejiranan secara keseluruhan.
  4. Nilai estetika dan/atau nilai senibina yang tinggi.
  5. Faktor-faktor sosial dan keselamatan seperti kadar jenayah yang rendah.
  6. Akses kepada jaringan pengangkutan awam dan lebuhraya.
  7. Kadar rumah kosong/rumah busuk yang ada dalam kawasan tersebut.
  8. Kadar pemilikan sesuatu kawasan kediaman.
  9. Kadar rumah yang didiami sendiri berbanding rumah yang disewakan.
  10. Keadaan dan kemudahan jalan akses kepada rumah tersebut.
  11. Ketersediaan sistem saliran/tadahan banjir bagi sesuatu kawasan.
  12. Kadar cukai pintu dan tanah.
  13. Topografi am kawasan.
  14. Kualiti dan keadaan semasa rumah.
  15. ‘Floor plan’ ataupun ‘layout’ sesebuah rumah.
  16. Kos binaan bagi unit rumah yang baru.
  17. Harga tanah kediaman kawasan rumah tersebut.
  18. Kos penambahbaikan rumah.
  19. Peluang pekerjaan berdekatan kediaman.

Dan banyak lagi faktor yang boleh mempengaruhi harga sesebuah rumah.

Apa cara mudah dan percuma untuk semak harga rumah?

Minta bantuan ejen hartanah yang beroperasi dalam kawasan rumah tersebut.

Ni adalah cara yang paling senang, sebab perunding hartanah ni kebanyakannya buat rujukan dan kompilasi data transaksi ni hari-hari ya.

Selain tu kami sebagai perunding hartanah sudah sedia ada mempunyai jaringan dengan valuer yang selalu membuat penilaian rumah di kawasan kami.

Kalau macam Anis, untuk kawasan operasi macam Simpang, Kamunting dan Taiping, memang Anis dah sediakan senarai harga indikatif yang selalu dikemaskini dalam bentuk Google Sheet yang boleh dikongsi.

Senarai julat harga rumah bagi sesuatu kawasan kediaman sekitar Taiping, Kamunting dan Simpang

Kalau bagi klien eksklusif Anis pulak mereka akan dapat anggaran masa berapa lama rumah mereka akan terjual bagi harga yang mereka mahukan. Anggaran ni berbeza mengikut jenis pasaran. Semua ni kita boleh tahu melalui data-data transaksi sesebuah kawasan.


Lagenda Ardea Jualan Kini Dibuka

Artikel lain berkaitan